Tuesday, 28 June 2011

BERSIH

1. Malaysia sebuah negara yang merdeka dan mengamalkan sistem demokrasi. Apabila sebut demokrasi, maka kita akan sedar bahawa ianya adalah sistem dimana rakyat berkuasa untuk menentukan siapa dan parti mana yang akan memimpin negara.

2. Kebebasan bersuara dan kebebasan media adalah elemen penting kepada sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi.

3. Sebagai rakyat, kita berhak untuk menyuarakan pandangan dan idea malah tidak salah sekiranya rakyat mahu menegur segala tindakan pemimpin yang menyalahi hukum-hukum Islam dan undang-undang negara.

4. Tanggal 9 Julai 2011, dijangka hampir 100 ribu orang akan berkumpul di ibu kota bagi menghadiri perhimpunan aman Gabungan Pilihanraya Bersih & Adil (BERSIH).

5. BERSIH 2.0 merupakan gabungan 63 NGO yang mempunyai kepentingan dalam mempromosikan demokrasi dan pilihanraya yang bebas serta adil di Malaysia. Pada asalnya, keahlian gabungan BERSIH yang menganjurkan perhimpunan pada tahun 2007 terdiri daripada pihak-pihak NGO dan parti-parti politik. Namun kini, BERSIH 2.0 yang dilancarkan pada 10 November 2010 hanya terdiri daripada ahli-ahli dari golongan masyarakat madani. BERSIH 2.0 merupakan satu gerakan rakyat untuk pilihanraya yang bersih dan adil. Jawatankuasa Induk BERSIH 2.0 terdiri daripada 14 individu yang mewakili pelbagai badan NGO di Malaysia.

6. Sejak perhimpunan BERSIH 2.0 dipromosikan oleh media-media alternatif dan parti-parti politik di Malaysia ini maka pelbagai pihak mula mengeluarkan pelbagai reaksi mengenainya. Ada yang setuju, ada yang tidak setuju, ada yang marah dan ada yang sokong. 

7. Pihak yang menyokong sudah pasti akan turun pada 9 Julai ini dan mereka sudah pasti akan terus-menerus mempromosikan perhimpunan aman ini.

8. Manakala dari pihak kerajaan pula, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengeluarkan kenyataan bahawa beliau tidak teragak-agak akan menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) keatas mereka yang menyertai perhimpunan aman BERSIH 2.0.

9. Saya pula tidak sependapat dengan Datuk Seri kerana ianya terang-terangan melanggar Akta Polis. Kepada pihak berkuasa, terutama polis yang menguatkuasakan undang-undang, hendaklah menghormati dan melaksanakan seksyen 27 Akta Polis, mengawal selia perhimpunan, perjumpaan dan perarakan yang bertujuan menjayakan objektif kebebasan bersuara dan bukannya menghalang kebebasan tersebut.

10. Tidakan Menteri Dalam Negeri ini menyalahi Perlembagaan Persekutuan iaitu Perkara 10(1)(b) yang menyebut semua warganegara berhak untuk berhimpun secara aman dan tanpa senjata

11. Mengapa pihak berkuasa mahu menangkap dan penjarakan rakyat yang berhimpun dan bersuara sedangkan Perlembagaan Persekutuan juga ada menyebut dalam Perkara 10 (1)(a) iaitu semua warganegara berhak kepada kebebasan bercakap dan bersuara. Saya yakin apa yang disuarakan oleh rakyat ini betul dan tidak ada salahnya kerana yang dituntut itu adalah Pilihanraya yang bersih, adil dan ianya langsung tidak menyentuh perkara-perkara sensitif.

12. Saya yakin perhimpunan aman BERSIH 2.0 ini akan berlangung dengan baik sekiranya rakyat dan polis dapat bekerjasama. Saya berpendapat bahawa pihak berkuasa sebenarnya hanya perlu mengawal trafik dan keadaan ketika perhimpunan itu berlangsung supaya tidak timbul huru-hara dan pergaduhan. Perhimpunan aman ini tidak akan jadi huru-hara sekiranya tidak ada pihak yang cuba timbulkan provokasi. 


13. Jika ada pihak yang mengeluarkan kenyataan perhimpunan ini menyebabkan kerugian kepada peniaga, pada pendapat saya kenyataan itu tidak benar malah pada hari itu peniaga di sekeliling tempat perhimpunan akan mendapat untung kerana kehadiran orang yang ramai dari seluruh pelusuk negeri. Sudah tentu yang akan mendapat untung adalah mereka yang menjual air atau makanan dan sudah pasti yang menjalankan perniagaan seperti itu majoritinya adalah Melayu.

14. Saya yakin pihak polis sudah menjalankan kerja mereka dengan amat baik sekali. Jesteru itu, saya berharap suapaya pihak berkuasa akan melaksanakan tugas mereka demi rakyat, adil dan tidak menyebelahi mana-mana pihak kerana Polis adalah Institusi Bebas.




Tuntutan BERSIH 2.0


3 comments:

This comment has been removed by a blog administrator.

This comment has been removed by the author.

This comment has been removed by a blog administrator.