Sunday, 25 December 2011

Perbezaan pendapat

1. Kita perlu ada prinsip perjuangan dan pendirian yang jelas. Tugas hakiki kita sebagai mahasiswa adalah untuk belajar kemudian mendapat keputusan yang baik dalam peperiksaan, namun perjuangan menuntut keadilan, kesaksamaan dan keamanan negara juga terletak di bahu kita.

2. Ramai dikalangan sahabat mahupun pimpinan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), mahasiswa di kampus yang menyangka saya punyai idealisma dan prinsip perjuangan yang bahaya kepada kerajaan atau lebih mudah di kenali sebagai pro pembangkang.

3. Sebenarnya saya tidaklah pro pembangkang mahupun kerajaan tetapi lebih kepada pemerhati bebas atau penilaian secara adil terhadap apa yang berlaku di dalam arena politik negara mahupun isu-isu semasa. 


4. Pendirian saya begini, perkara kebaikan atau kebajikan yang datang daripada kerajaan perlu kita ambil kira dan hargai, begitu juga jika pembangkang melaksanakan sesuatu yang baik dan menjaga kebajikan rakyat dengan baik maka wajib untuk kita hargai. Jika kedua-dua belah pihak ini melakukan kesalahan dan perkara mungkar maka wajib sebagai rakyat untuk menegur.

5. Saya kurang setuju dengan mana-mana pihak yang mengatakan jika seseorang itu tidak sependapat atau punyai pandangan yang berbeza dengan kerajaan, maka dia digelar sebagai pengkhianat atau tidak setia pada kerajaan mahupun negara. Saya gelar orang seperti ini sebagai 'sempit akal'.

6. Perbezaan pendapat, pandangan dan idea adalah perlu dan sangat penting jika kita mahu wujudkan sebuah negara yang aman dan maju. Perbezaan pendapat sangat baik, kerana ia mencetuskan idea yang berlainan, cara fikir yang berbeza, pengetahuan yang meluas dan menentukan jati diri seseorang.

7. Saya tekankan dan tegaskan! Mahasiswa yang mempunyai pandangan, pendapat atau pendirian yang berbeza dengan kerajaan tidak semestinya mereka pro pembangkang. 

8. Jadilah manusia yang  cerdik dalam  memberi pendapat dan juga menerima  perbezaan pendapat. Lihat sahaja Umar dan Abu bakar, dua sahabat Nabi yang sangat di hormati, mereka  dapat menerima antara satu sama lain walaupun mempunyai banyak perbezaan pendapat. Mereka adalah manusia yang cerdik dan pintar. Seharusnya orang yang ingin menjadi cerdik dan pintar mencontohi  akhlak mereka. Mengakui kelemahan diri itu sebenarnya bukan hina malah itu lah sifat hamba yang soleh. Sebenarnya musuh yang paling hebat di dunia ini ialah diri kita sendiri. Orang lain tidak mampu membuat kita risau kecuali diri kita sendiri yang membuatnya risau.

0 comments: