Tip Khusyuk Dalam Solat
1. Sahabat-sahabatku, Solat adalah satu anugerah yang amat bernilai dan merupakan satu mukjizat yang paling agong buat umat Islam. Solat merupakan salah satu cara untuk kita bertemu, berinteraksi, melepaskan rindu dan berkasih sayang dengan Allah SWT.
2. Solat adalah kewajipan dan tanggungjawab kita sebagai seorang hamba Allah SWT. Selagi kita berada di muka bumi Allah, selagi roh masih segar di dalam jasad kita, selagi itulah tidak ada sebarang alasan untuk kita mengelak daripada melaksanakan solat. Sebab itu Islam telah menetapkan pelbagai cara, hukum, peraturan dan kaedah bagi mereka yang tidak mampu melaksanakan solat seperti biasa.
3. Solat merupakan tiang agama dan orang yang mendirikan solat dianggap telah membina agama sepertimana Sabda Baginda Rasulullah SAW : Rasulullah SAW bersabda : "Solat itu tiang agama, sesiapa yang mendirikan solat sesungguhnya dia telah mendidikan agama, dan sesiapa yang meninggalkannya maka sesungguhnya dia telah meruntuhkan agama."
4. Solat merupakan amalan pertama yang akan dihisab oleh Allah SWT. Solat juga dapat mencegah diri kita daripada melakukan perkara yang mungkar. Solat yang dibaluti dengan rasa khusyuk dan penuh ketaqwaan akan memberi kesan yang positif kepada kehidupan kita seharian. Positif dari sudut pemikirannya, percakapannya dan perbuatannya. Rasulullah SAW bersabda: "Perkara pertama yang akan dihisab ke atas seseorang pada hari qiamat ialah solat. Apabila baik solatnya maka baiklah seluruh amalannya. Dan jika rosak maka rosaklah segala amalannya." (HR. Tobarani). Allah SWT pula menyebut dalam firmanNya:
"Dirikanlah solat, sesungguhnya solat itu mencegah kamu daripada keburukan dan kemungkaran."
5. Sebenarnya khusyuk dalam solat adalah satu perkara yang sangat-sangat dituntut oleh Islam seperti firman Allah SWT yang bermaksud: “Telah berjayalah orang-orang yang beriman, iaitu orang-orang yang khusyuk dalam sembahyangnya” (Surah Al-Mukminun : ayat 1-2) dan firmanNya lagi yang bermaksud: "Maka kecelakalah bagi orang-orang solat, (iaitu) orang-orang yang lalai dari solatnya." (Surah Al-Ma'un : ayat 4-5)
6. Justeru itu, marilah kita melihat dan mengaplikasikan tip-tip yang berkesan untuk mencari khusyuk sewaktu solat:
- Memohon pertolongan Allah untuk mengkhusyukkan sembahyangnya dengan membaca Surah An-Nas sebelum dia mengangkat Takbirratul-Ihram.
- Mengambil tahu dan mempelajari makna-makna bacaan dalam sembahyang. Seperti bacaan Al-Fatihah, tahiyyat, tasbih dalam rukuk dan sujud, dan bacaan-bacaan yang lain supaya dia tidak teringatkan perkara-perkara yang lain, selain daripada hatinya menumpukan kepada pengertian bacaan-bacaan itu.
- Menjaga makanan, minuman, pakaian, tempat tinggal dan lain-lain supaya datang dari punca yang halal tanpa syubhah.
- Mendirikan sembahyang di awal waktu atau pertengahan waktu supaya tidak gopoh apakala masa hampir luput.
- Rasa Malu (Haya’) perasaan malu terhadap Allah s.w.t., rasa takut (Khauf) kepada kekuasaan Allah.
- Berharap serta yakin (Optimis) Allah menerima solat dan amal kita.
- Membesarkan Allah dalam solat, merasakan kehebatan Allah dalam solat.
- Menggunakan sejadah yang tidak terlalu banyak gambar yang akan menghayalkan pemikiran.
- Mendirikan sembahyang secara berjemaah.
- Mengambil wuduk dengan sempurna.
- Azan dan iqamat terlebih dahulu walaupun mendirikan sembahyang bersendirian ataupun sekurang-kurangnya iqamat sahaja.
- Ditegah bersembahyang dengan pakaian yang ada gambar, berwarna warni, bertulis, lukisan dan lain-lain kerana ia juga membuat orang lain hilang kekhusyukan ketika berjemaah.
- Mengurangkan pergerakan anggota-anggota seperti tangan, kaki dan juga Mata ditumpukan kepada tempat sujud dan ketika tasahut melihat anak jari.
7. Semoga ilmu yang saya kongsikan ini dapat sama-sama kita merealisasikan impian untuk mendapat khusyuk sewaktu menyembah Sang Pencipta. Ingatlah, Sayidina Umar Al Khattab pernah berkata, “Khusyuk itu bukan tundukkan kepala, tapi khusyuk itu dalam hati.”
Wallahu'alam..
comments:
4 April 2011 at 11:20
alhamdulillah, syukran atas ilmu yg dikongsikan =)
Post a Comment